Thursday, January 14, 2010

Cabaran Minda

CABARAN MINDA

PUTRAJAYA 18 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia terutama golongan muda, mencabar minda mereka supaya mampu melakukan sesuatu pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Perdana Menteri berkata, sesuatu perkara itu mungkin difikirkan tidak akan mampu dilakukan oleh golongan remaja tetapi ia boleh dilaksanakan jika memiliki ketabahan, kekuatan emosi dan spiritual.
''Biar kita mencuba mencapai dan menguasai perkara yang kita fikir ia tidak mungkin dapat kita lakukan.

''Kalau kita cekal, kuatkan azam serta mempunyai kekuatan emosi dan spiritual, tidak ada rintangan yang tidak dapat diatasi, jadikanlah semangat itu sebagai pegangan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang dan tajaan Ekspedisi Tujuh Benua Tujuh Nilai di pejabatnya di sini, hari ini.

Ekspedisi yang bermula sejak 2004 itu memasuki fasa ketiganya iaitu penyertaan perenang adik beradik, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18 dan Salman Ali Syariaati, 12, bagi merentasi Selat Inggeris dari Dover, United Kingdom ke Calais, Perancis pada 2 hingga 6 Julai ini.
Sekiranya Zahra dan Salman berjaya melakukan renangan tersebut, mereka bakal mencipta sejarah sebagai perenang Islam termuda berjaya merentasi Selat Inggeris.


Pasangan adik-beradik itu sebelum ini berjaya merentasi Selat Melaka dari Langkawi ke Kuala Perlis membabitkan jarak 43 kilometer di bawah tempoh masa 18 jam.
Menurut Najib, cabaran yang cuba dilakukan Zahra boleh menjadi ikutan dan sumber inspirasi bagi remaja yang lain dalam melakukan sesuatu yang pada asalnya difikirkan tidak mampu dilakukan oleh mereka.
''Ini supaya golongan tersebut tidak terpesong ke jalan yang membinasakan dan tidak diredai Allah," katanya.

Malah, katanya, biarlah masyarakat dunia mengetahui bahawa rakyat negara ini mempunyai kecekalan hati dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.
''Apa yang cuba dilakukan oleh Zahra adalah sesuatu yang tidak mudah dengan cuaca sejuk dan tidak kurang cabarannya dengan arus yang kuat.
''Namun oleh kerana Zahra telah berjaya berenang dari Langkawi ke Kuala Perlis, ini pun sudah hebat, jadi kita bertambah yakin. Insya-Allah, Zahra akan menjadi perenang pertama wanita Malaysia berjaya merentasi Selat Inggeris," katanya.
Najib berkata, negara masih lagi mengingati pencapaian hebat golongan wanita di negara ini seperti Datuk Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang berjaya melakukan ekspedisi ke Kutub Utara dan Selatan manakala Marina Ahmad muncul sebagai wanita pertama Malaysia menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest.

''Jadi, apa yang bakal dilakukan oleh Zahra diharap dapat mengharumkan nama Malaysia dan kaum wanita di negara ini.
''Rakyat Malaysia merupakan satu bangsa yang mempunyai jiwa besar yang boleh mencatatkan kejayaan yang dibanggakan," katanya.

No comments: